Powered By Blogger

Sunday, 25 May 2014

7 Tips Latihan Masa Dengan Bijak

Assalamualaikum semua..
maaf terlebih dhulu  kpd semua pembaca blog kali ini entri agak pnjang sedikit.harap sudi membaca.dan satu lagi, tip ini alya cari kat internet dan minta halakanla untuk berkongsi tips ini.. sumber drpd pakar motivasi yg bnyk mnghasilkan buku buku motivasi iaitu, Osman Affan.kalau anda semua berminat untuk bermotivasi or lain lain boleh layari www.osmanaffan.com, smart study and consultancy..ok tnpa mmnjngkan lgi entri kali ini, mari la ikuti tip latihan mase dgn bijak.


Satu masalah utama yang disebut-sebut oleh pelajar ialah masalah pengurusan masa. Walaupun semua pelajar tahu bahawa kita semua sama-sama ada 24 jam sehari, mereka tetap hadapi kesukaran memahami mengapa ia terasa seperti cuma ada 12 jam sahaja sehari dalam hidup mereka. Jangan kata pelajar, orang dewasa juga hadapi masalah yang sama. Jika saya imbas zaman persekolahan saya sendiri, saya juga tidak terkecuali daripada masalah pengurusan masa.
Jadi sepanjang cuti sekolah ini, apa kata kita beberapa tips yang boleh digunakan untuk menguruskan masa. Secara khususnya, saya akan bincangkan 7 tips pengurusan masa. Sebaik-baiknya, kita gunakan kesemua tips ini serta-merta sepanjang cuti sekolah ini agar apabila sekolah bermula nanti, kita akan mula rasa selesa dengan gaya pengurusan masa yang betul.
Dr Tara Kuther7 tips ini saya pelajari daripada artikel hasil tulisan Dr. Tara Kuther, Professor dalam bidang Psikologi di Universiti of Western Conneticut State. Beliau menulis tips ini untuk ditujukan kepada pelajar di peringkat sekolah menengah, kolej dan universiti. Setelah saya baca dan faham artikel tersebut, saya akan kongsikan bersama anda mengenai tips ini berdasarkan apa yang saya faham.
Saya juga akan tulis tips ini sebagai satu panduan untuk anda jadikannya satu latihan sepanjang cuti persekolahan ini. Jadi saya percaya artikel yang bakal saya kongsikan ini sesuai untuk anda jika anda bergelar seorang pelajar.
Tip 1
Tip menguruskan masa yang pertama ialah ‘Buat satu senarai tugasan yang perlu dilakukan’. Di dalam Bahasa Inggeris, ini dinamakan ‘To Do List’. Untuk menyediakan senarai ini adalah satu kerja yang sangat mudah sebenarnya tetapi kesannya kepada cara kita melakukan sesuatu kerja adalah amat besar sekali.
Jika anda seorang pelajar, di masa cuti sekolah ini, pada waktu malam sebelum tidur, buat latihan ini selama 5 hingga 10 minit. Sediakan satu buku kecil. Buku kecil yang dicadangkan ialah buku kecil yang mudah dibawa ke mana-mana. Namun jika tidak ada, jangan risau. Jangan jadikan ia satu alasan. Ambil apa-apa sahaja buku atau kertas kosong yang boleh digunakan.
Dalam masa 5 hingga 10 minit, tuliskan semua perkara yang anda mahu lakukan pada esok hari. Fikirkan sejenak, selepas bangun tidur, apakah aktiviti-aktiviti yang perlu anda lakukan. Senaraikan semuanya. Senaraikan aktiviti-aktiviti penting dan juga aktiviti yang mungkin kurang penting. Mungkin pada waktu cuti sekolah anda ada lebih banyak aktiviti yang tidak berkaitan dengan pelajaran. Tidak mengapa. Tuliskan sahaja.
Urus masa belajar
Latihan ini sebenarnya adalah untuk membiasakan diri kita berfikir dan melihat sedikit jauh ke depan sebelum kita melakukan sesuatu. Masalah utama pelajar yang menghadapi masalah pengurusan masa ialah mereka rasa terlalu banyak perkara yang perlu dilakukan. Namun apabila mereka senaraikan di atas kertas perkara-perkara tersebut, ia tidak kelihatan begitu banyak lagi. Hasilnya, mereka rasa ia boleh disempurnakan dengan baik.
Langkah seterusnya.
Setelah anda tulis semua aktiviti yang perlu dilakukan esok, lihat semula senarai aktiviti tersebut. Saya mahu anda berikan nombor atau gred untuk aktiviti-aktiviti tersebut. Saya mahu anda berikan aktiviti tersebut gred, 1,2 atau 3. Gred ini bermaksud,
Gred 1 – Sangat penting  Gred 2 – Penting   Gred 3  – Tidak penting
Penting atau tidak penting ini pula anda perlu berhati-hati. Anda perlu jelas apa matlamat anda sebagai seorang pelajar. Jika saya tanya bermain video games selama 3 jam adalah Gred 1, 2 atau 3, apakah jawapan anda? Jika anda jawab 3 (tidak penting), bermaksud matlamat anda ialah untuk menjadi pelajar cemerlang dan cita-cita anda satu hari nanti ialah mahu berjaya dalam bidang yang boleh dikaitkan dengan pendidikan.
Namun jika anda jawab 1 (Sangat penting), ini bermakna cita-cita anda bukanlah mahu menjadi pelajar cemerlang. Ada kemungkinan cita-cita anda mahu menjadi pemain video games professional.
Jadi, untuk perbincangan kita mengenai cara menguruskan masa ini, saya andaikan cita-cita anda ialah mahu berjaya dengan cemerlang dalam bidang akademik. Berikan gred kepada senarai aktiviti anda sekarang. (Jika anda pelajar sekolah rendah, dapatkan bantuan ibu bapa, abang, kakak atau guru untuk menentukan gred aktiviti ini.)
To Do List
Apabila anda lihat gred ini semua, anda boleh nampak dengan jelas apakah fokus utama aktiviti anda untuk hari esok. Jika anda kesuntukan masa, anda perlu fokuskan kepada perkara yang mempunyai gred terendah iaitu 1 atau 2. Apabila anda penat selepas melakukan aktiviti gred 1, anda boleh berehat dengan melakukan akitiviti dalam senarai yang mempunyai gred lebih tinggi. Contohnya, selepas penat membuat kerja sekolah Matematik (Gred 1), anda boleh berehat dengan melakukan aktiviti menonton DVD Kungfu Panda (Gred 3). Hebat bukan? Siap Gred 1, berehat dengan Gred 3. Hasilnya banyak aktiviti dalam senarai boleh disempurnakan.
Setelah esok berakhir iaitu pada waktu malam sebelum tidur, lihat semula senarai ini. Cuba tandakan mana aktiviti yang telah disempurnakan. Percaya atau tidak, jika teknik ini diamalkan, anda akan rasa sangat seronok apabila anda membuat tanda pada aktiviti yang telah disempurnakan. Ia memberikan kita satu kepuasan yang sukar digambarkan.
To Do List
Bagaimana dengan aktiviti yang belum disempurnakan? Tuliskan semula aktiviti tersebut di dalam senarai baru untuk hari berikutnya. Kadangkala kalau ia gagal dilakukan hari ini, ia akan menjadi semakin penting pada keesokan harinya. Jadi pastikan kita menukar gred aktiviti tersebut jika perlu.
To Do List
Tanamkan azam untuk membuat aktiviti ini sepanjang cuti sekolah ini. Jangan risau kalau anda rasa sukar pada mulanya. Saya akan terangkan lagi tentang kepentingan langkah ini dalam posting saya seterusnya. Selamat menulis senarai aktiviti harian anda. :)
Tip 2
Mel urus masaSetelah kita pelajari bahawa langkah penting dalam menguruskan masa ialah menulis dan merancang aktiviti untuk hari esok, tip kedua pula ialah ‘Tetapkan masa akhir’ untuk menyempurnakan sesuatu. Di dalam bahasa Inggeris, ia dikatakan sebagai ’set a deadline’.
Menetapkan masa akhir bermaksud jika kita mahu lakukan sesuatu, anggarkan berapa lama masa yang diperlukan untuk menyiapkan sesuatu. Sebagai contoh, jika kita merancang untuk menyiapkan kerja sekolah Matematik, anggarkan berapa lamakah masa yang kita ada untuk menyiapkannya dan tetapkan bilakah kerja sekolah tersebut sepatutnya siap.
Jika boleh, jangan tetapkan masa yang terlalu lama untuk menyiapkan sesuatu. Maksud saya, jangan tetapkan masa 2 jam untuk menyiapkan 10 soalan Matematik. Ini kerana jika kita tahu bahawa kita ada banyak masa, kita akan berlengah-lengah dalam membuat kerja. Akibatnya, kita tidak fokus sepenuhnya dan hasil kerja kita juga tidak sebagus mana.
Sebelum ini, saya tidak sedar tentang kepentingan menetapkan masa akhir. Akibatnya, saya perlu siapkan perkara yang ringkas dalam masa yang agak lama. Sebagai contoh, jika saya mahu menulis artikel dan tidak tetapkan masa akhir bila ia perlu disiapkan, saya akan bertangguh dan terlupa tentang apa yang mahu saya tulis. Namun jika saya tetapkan “artikel ini mesti siap sebelum pukul 12 tengahari Jumaat, 18 Disember 2009″, saya akan dapat lebih fokus dan dan teringat tentang artikel ini setiap masa. Hasilnya, saya akan paksa diri untuk duduk menulis dan tumpukan sepenuh perhatian agar ia dapat disiapkan dengan segera.
Jika anda sebagai pelajar dan ada banyak kerja yang perlu disiapkan dalam masa cuti sekolah ini, ada 3 langkah asas yang ingin saya cadangkan anda lakukan untuk mempraktikkan tip kedua ini.
  • Langkah pertama, senaraikan semua kerja atau tugasan yang perlu diselesaikan dalam masa cuti sekolah ini. Ia mungkin kerja sekolah, sesuatu yang hendak kita baca atau sesuatu aktiviti yang sudah lama kita tangguhkan.
  • Langkah kedua, tuliskan tarikh dan masa akhir untuk setiap aktiviti tersebut.
  • Langkah ketiga, buat keputusan dan tanamkan tekad bahawa anda akan siapkan semua tugasan ini sebelum masa akhir yang telah ditetapkan.
Urus masa Osman Affan
Saya percaya langkah ketiga adalah langkah yang paling sukar untuk dipraktikkan. Semua orang boleh tetapkan masa akhir tetapi tidak semua orang sanggup bekerja keras untuk menepatinya. Namun jika ia diamalkan pasti menjadi mudah juga nanti. Malah jika kita berusaha dan berjaya menepatinya, akan timbul rasa puas di dalam diri dan ini akan meningkatkan lagi tahap keyakinan diri kita untuk menguruskan masa dengan baik.
Mulai hari ini juga, cuba praktikkan untuk menetapkan masa akhir bagi semua perkara yang kita lakukan. Jika kita mahu kemas bilik, kata dalam hati, ‘dalam masa setengah jam, bilik ini akan bersih, tidak ada sampah dan sempurna untuk belajar’. Setengah jam itu adalah masa yang telah kita tetapkan. Hasilnya, kita akan mengemas dengan lebih laju, fokus dan berkesan. Ini sangat jauh bezanya jika anda hanya ambil penyapu, sapu sampah di dalam bilik, kemas katil dan sebagainya tanpa mengetahui apa yang ingin dicapai.
Sama juga jika anda mahu menonton televisyen tetapi dalam masa sama anda perlu siapkan kerja sekolah. Katakan sekarang jam menunjukkan pukul lapan pagi dan anda mahu menyiapkan nota Sejarah. Pada pukul 8.30 pagi pula ada cerita kegemaran anda di televisyen dan anda rasa ia sangat penting dan tidak boleh dilepaskan. Jadi, tetapkan dalam diri anda tentang masa yang anda ada. “Aku ada setengah jam untuk buat nota sejarah. Dalam masa setengah jam ni, aku  akan siap baca 10 mukasurat bab 8, cari jawapan kepada 3 soalan mengenai bab 8 dan lukiskan peta minda untuk isi pentingnya.”
Saya percaya dengan langkah ini, proses pembelajaran akan jadi sangat berbeza. Ia akan jadi sangat berkesan. Selamat mencuba. :)
Tip 3
Tips latihan pengurusan masa sepanjang cuti sekolah kita yang ketiga ialah ‘Fokuskan minda kepada satu perkara sahaja pada satu masa’. Ini kerana salah satu sebab mengapa banyak kerja tidak dapat disiapkan, mengapa kita cuba bertangguh melakukan sesuatu kerja dan mengapa kita tidak dapat menguruskan masa dengan baik ialah kita selalu fikir tentang banyak perkara dalam satu masa.
Urus masaSebagai contoh, ketika menyiapkan kerja sekolah Sejarah, kita terbayang tentang kerja sekolah Matematik dan Sains. Bila kita sedang mengemas bilik, kita teringat tentang baju yang belum dibasuh atau halaman rumah yang perlu disapu. Apabila minda kita sudah terbahagi kepada beberapa fokus dalam satu masa, ada beberapa perkara akan berlaku.
  • Pertama, kita tidak dapat melakukan kerja yang sedang dilakukan dengan berkesan.
  • Kedua, kita mula hilang semangat dalam menyiapkan kerja yang sedang dilakukan.
  • Ketiga, kita mula rasa terlalu banyak perkara yang hendak dilakukan lalu cuba menangguhkan semua kerja. Ini adalah disebabkan minda kita rasa ‘terlalu sesak’ dengan terlalu banyak benda. Akibatnya satu perkara pun tidak dapat dilakukan.
Pelajar yang suka bertangguh dan melengah-lengahkan kerja mereka selalunya disebabkan perkara ini. Mereka hendak buat kerja sekolah Sejarah. baru hendak mula sudah teringat kerja sekolah lain. Minda mereka jadi terlalu sesak dan terus menangguhkan semua kerja sekaligus. Bagaimana cara mereka melegakan perasaan minda yang sesak ini? Mereka akan lakukan sesuatu yang boleh menenangkan dan menggembirakan minda mereka dengan segera sama ada dengan bermain games, menelefon kawan, berbual di internet, menghantar pesanan sms dan sebagainya. Semakin banyak aktiviti ini semua dilakukan, semakin berat hati mereka untuk kembali semula melakukan tugasan-tugasan tadi.
Mel SmartStudyJadi tip hari ini mengatakan, jika kita mahu uruskan masa dengan lebih baik, semasa melakukan sesuatu, fokuskan minda kepada satu perkara itu sahaja. Perkara lain itu lupakan seketika. Sebagai contoh semasa sedang menyiapkan kerja sekolah Sejarah tadi, penuhkan fikiran dengan persoalan mengenai Sejarah. Untuk lebih mudah fokus, jika sedang buat kerja di atas meja, kosongkan meja tersebut. Biar hanya ada buku Sejarah di atas meja. Ini untuk mengelakkan kita asyik terpandang buku lain dan mula teringat tentang kerja lain itu pula.
Satu masalah yang biasa disebut oleh pelajar ialah “saya dah cuba fokus pada satu perkara tetapi minda saya ni asyik teringat kepada perkara lain’. Langsung tidak boleh fokus kepada apa yang dilakukan sekarang. Apa nak buat?” Kalau teringat sahaja tidak mengapa sebenarnya tetapi ini ingat dan mula rasa bimbang dan hilang ‘mood’ untuk buat kerja. Akibatnya satu perkara pun tidak dapat disiapkan dengan sempurna. Ia sama macam pepatah melayu yang mengatakan apa yang dikejar tak dapat, apa yang dikendong berciciran.
Ada 2 jawapan yang biasa saya berikan untuk soalan ini. Pertama, asyik teringat kepada perkara lain itu adalah perkara biasa. Apa  yang perlu dilakukan ialah apabila kita tersedar yang minda kita sudah mula teringat tentang perkara lain, bawa minda kita pulang semula kepada apa yang sedang dilakukan. Kata kepada diri kita, ‘Satu Perkara Pada Satu Masa!’ dan ingatkan diri kita bahawa kalau sibuk-sibuk risaukan perkara lain pun, bukannya kerja tersebut boleh siap. Lebih kita fokus dan siapkan kerja di hadapan mata sekarang. Semakin cepat kerja sekarang siap, semakin cepatlah kita boleh siapkan kerja yang lain itu.
Kedua, jika minda kita asyik teringat tentang kerja lain, ada kemungkinan kerja itu lebih penting dan perlu disiapkan dengan lebih segera. Kadangkala, apabila ada kerja yang susah hendak dilakukan, kita cuba mengelak daripada melakukannya. Contohnya, jika kita benci subjek Matematik Tambahan, kita akan sentiasa cuba mengelak daripada melakukannya. Semakin kita mengelak, semakin kita rasa bimbang kerana ia mesti disiapkan walau dengan apa cara sekalipun. Jadi, semasa kita cuba mengelak daripada melakukan kerja tersebut dengan melakukan kerja lain, fikiran kita akan sentiasa kembali fokus dan terkenang subjek Matematik Tambahan tersebut.
Jadi cara terbaik untuk menyelesaikan masalah ini ialah kita GAGAHKAN diri dan berdepan dengan subjek Matematik Tambahan tersebut. Kata pada diri kita sendiri, “lepas aku siapkan kau, senanglah semua kerja aku yang lain nanti.” Ingatkan diri kita, kalau benda yang paling susah sudah disiapkan, benda-benda lain pasti akan terasa begitu mudah untuk disempurnakan.
Jadi sepanjang cuti sekolah ini dan cuti sekolah yang akan datang, latih diri untuk fikir tentang satu perkara saya pada satu masa. Kalau tengah kemas rumah, fikir tentang kemas rumah dan bagaimana untuk menyiapkan tugas mengemas dengan sempurna dan berkesan. Jangan ingat dan bimbang tentang basuh kasut masa mengemas rumah.
Tip 4
Tips latihan menguruskan masa sepanjang cuti sekolah yang keempat ialah ‘tetapkan masa aktif’. Menurut Dr. Tara Kuther, ini beliau namakan ‘Go with the Flow’.
Saya definisikan masa aktif sebagai masa di mana anda rasa paling bertenaga, bersemangat dan cergas untuk melakukan sesuatu. Saya percaya semua orang ada masa aktif mereka sendiri. Namun setiap orang mempunyai masa aktif yang berbeza.
Ada orang yang aktif di waktu pagi. Ada yang aktif di waktu tengahari, petang atau malam. Jadi, pada waktu bilakah anda paling aktif dalam sehari?
Katakan anda rasa masa aktif anda ialah pada waktu pagi. Jadi,
  • Susun aktiviti atau tugasan yang paling sukar pada waktu pagi.
  • Susun jadual belajar subjek yang mencabar pada waktu pagi.
  • Susun aktiviti atau tugasan yang anda paling tidak suka pada waktu pagi.
Urus masa Osman AffanSebab mengapa ini dicadangkan ialah semasa kita aktif, kita lebih efektif dalam melakukan sesuatu. Semasa kita aktif, kita boleh berfikir dengan lebih baik dan bertenaga. Hasilnya kita akan dapat lakukan sesuatu dengan lebih berkesan dan cepat.
Bayangkan anda cuba siapkan kerja rumah yang paling susah dan yang anda paling benci pada waktu anda paling lemah, letih dan mengantuk. Boleh ia dilakukan? Sudah tentu sukar bukan?
Satu masalah yang biasa berlaku ialah kebanyakan orang suka melakukan aktiviti yang paling mereka suka pada masa aktif mereka. Pelajar contohnya suka belajar subjek yang paling mereka suka dan subjek yang mereka selalu skor A pada masa aktif. Hasilnya, prestasi subjek itu semakin baik manakala prestasi subjek yang mereka lemah kekal lemah malah semakin teruk lagi.
Urus masa Osman Affan
Pakar motivasi dan pembangunan diri, Brian Tracy juga ada memberikan pandangan yang hampir serupa mengenai perkara ini. Kata beliau, ‘Eat that frog’. Katak yang beliau maksudkan ialah kerja atau tugasan yang paling kita tidak suka dan selalu kita cuba tangguhkan. Jika kita berjaya lakukan tugasan yang paling kita tidak suka ini, tugasan lain akan jadi lebih mudah untuk dilaksanakan. Jadi saya tambah sedikit, ‘makan katak itu’ di dalam masa aktif anda. :)
Sepanjang cuti sekolah ini, cuba kenal pasti masa aktif anda dan kuatkan semangat untuk melakukan semua tugasan mencabar dalam masa aktif ini. Setelah anda lakukan beberapa kali pasti anda akan dapat lihat betapa berkesannya teknik ini. Perlu diingat juga, ada kalanya sukar untuk kita kenal pasti waktu bilakah sebenarnya masa aktif kita. Jangan risau. teruskan mencuba untuk kenal pasti masa aktif kita ini. Ia kadangkal memakan masa sedikit lama untuk dikenalpasti. Namun jika terus mencari dan mengenal pasti, tentu kita akan jumpa.
Tip 5
Tip latihan menguruskan masa sepanjang cuti sekolah yang kelima adalah mudah sahaja. Ia berbunyi, ‘belajar untuk berkata TIDAK!’
Kali pertama saya pelajari tentang teknik pengurusan masa ini, saya rasa amat pelik. Apa kena mengena pula berkata tidak dengan pengurusan masa. Namun setelah saya fikir-fikirkan, ternyata benar, banyak masalah berkenaan pengurusan masa adalah disebabkan kita tidak mampu untuk berkata TIDAK.
Urus Masa Osman Affan
Bayangkan pelajar yang sedang belajar, siapkan kerja sekolah dan mengulangkaji topik yang baru dipelajari. Baru 5 minit buat kerja tiba-tiba dia mendapat pesanan sms daripada kawannya yang berbunyi, “buat apa tu?”
Apakah yang akan dilakukan oleh pelajar ini? Adakah dia akan balas pesanan sms itu dan kemudian berterusan hingga lebih satu jam atau dia akan kata “TIDAK! Aku nak buat kerja ni.’ Pada pendapat anda, yang mana satukah pilihan pelajar ini?
Saya sendiri percaya dan faham mengapa begitu susah untuk berkata tidak. Kadangkala saya sendiri semasa sedang sibuk menulis blog tiba-tiba dapat sms daripada sahabat, “Ngeteh?” Sudah jadi tabiat, saya akan balas “JOM!” Walaupun keluar minum teh dengan kawan tidak lama, aktiviti tersebut membuat beberapa perkara menjadi tidak lancar. Habis minum teh, idea dan semangat menulis blog mungkin sudah berkurangan.
Sebagai pelajar, anda perlu belajar berkata tidak kepada perkara-perkara yang boleh mengganggu kelancaran rancangan anda. Jika anda kesuntukan masa untuk siapkan kerja sekolah dan menerima pesanan sms, tidak perlu jawab jika ia tidak penting atau jawab dan beritahu sahabat anda yang anda tidak dapat berbalas-balas sms dengannya.
Satu masalah dengan teknik ini ialah anda mungkin bimbang jika berkata tidak, nanti anda dipulaukan. Ini berlaku bukan sahaja kepada pelajar tetapi juga kepada orang dewasa di alam pekerjaan. Baru hendak siapkan kerja yang diminta oleh bos, kawan dah ajak minum pagi. Tidak ikut, bimbang dikatakan sombong. Tidak ikut, bimbang lain kali tidak diajak.
Bagi saya, tidak salah untuk bimbang. Namun sekali sekala kita perlu bimbang untuk diri kita juga. Selama ini kita asyik bimbang kawan-kawan atau orang disekeliling terasa hati kalau kita berkata TIDAK. Apa kata berfikir untuk diri kita pula seketika dan kita tahu, perkataan TIDAK itu akan menambahkan lagi produktiviti diri kita. Peluang dan jalan untuk kita menuju kejayaan juga akan terbuka lebih luas.
Tambahan lagi, berkata TIDAK bukan semestinya dalam nada yang tidak baik. Kita boleh berkata tidak dalam nada dan bahasa yang sopan. Sekurang-kurangnya sesiapa yang mendengar perkataan TIDAK daripada kita itu tidak berkecil hati dan mungkin boleh faham mengapa kita berkata demikian.
Jadi sebagai pelajar, belajar untuk berkata TIDAK apabila diajak melakukan aktiviti yang kurang atau tidak berfaedah dan aktiviti yang mengganggu kelancaran rancangan yang telah kita sediakan.
Selamat berlatih untuk berkata TIDAK dalam proses menguruskan masa anda. :)
Tip 6
Tips latihan menguruskan masa sepanjang cuti sekolah yang keenam ialah ‘jadi lebih fleksibel semasa menguruskan masa’ atau dalam bahasa Inggerisnya, ‘Be flexible’.
Ini bermaksud, semasa kita merancang dan menguruskan masa, kita perlu bersedia untuk berubah atau sedikit terpesong daripada rancangan awal kita. Sebagai contoh, jika kita merancang untuk belajar Matematik selama 40 minit dan belajar Sejarah selama 40 minit selepas itu, kita perlu bersedia untuk menukar rancangan jika ianya tidak berjalan seperti yang diharapkan.
Urus Masa Osman Affan
Mungkin kita rancang untuk belajar Matematik selama 40 minit tetapi apabila 40 minit berakhir, kita masih lagi belum siap dan masih ada sedikit lagi yang perlu dilakukan. Jadi, berikan lagi sedikit masa untuk buat latihan Matematik tersebut. Ada masanya kita rancang masa untuk 40 minit tetapi terpaksa ambil masa selama 80 minit. Dalam contoh rancangan hendak buat latihan Matematik dan Sejarah tadi, apabila anda luangkan masa selama 80 minit untuk Matematik, ia bermaksud rancangan untuk belajar Sejarah terpaksa ditangguhkan.
Adakah ini bermaksud subjek Sejarah akan diabaikan? Tidak juga. Apa yang perlu dilakukan ialah anda masukkan lagi subjek Sejarah dalam jadual pembelajaran anda dalam masa yang terdekat ini. Ia tidak diabaikan tetapi ditukar masanya ke masa yang lebih sesuai.
Mengapakah kita perlu fleksibel? Menurut pengalaman saya menjalankan program teknik belajar di sekolah, majoriti pelajar yang saya temui TAHU bagaimana untuk membuat jadual belajar. Sejak sekolah rendah lagi pelajar sudah belajar bagaimana mahu membuat rancangan untuk belajar setiap hari. Mereka akan satu jadual di mana ada tertulis pada pukul berapa pergi ke sekolah, pukul berapa pergi mengaji, pukul berapa pergi tuisyen dan sebagainya.
Namun satu perkara yang kurang ialah pelajar tidak tahu apa yang perlu dilakukan jika rancangan itu tidak dapat diikuti sepenuhnya. Jika mereka tulis belajar subjek Sains pada pukul 8 malam, apa akan terjadi jika malam itu ada banyak latihan Pendidikan Agama yang perlu disiapkan? Apa akan jadi jika keesokan harinya ada peperiksaan subjek Bahasa Melayu dan persediaan belum dilakukan dengan baik?
Apabila pelajar tidak dapat mengikuti jadual mereka dengan baik, selalunya 2 perkara akan berlaku.
  1. Mereka rasa bersalah dan susah hati. Akibatnya mereka tidak dapat tumpukan perhatian kepada kerja yang hendak dilakukan segera kerana asyik teringat tentang jadual mereka yang tidak dapat disempurnakan.
  2. Mereka akan rasa lemah semangat dan hilang minat untuk membuat jadual. Rungut mereka, “kalau buat jadual pun, bukan boleh ikut semua. Buat sakit hati je nanti. Baik tak payah buat jadual!” Saya percaya inilah sebab utama mengapa pelajar tidak suka membuat jadual untuk menguruskan masa mereka. Saya temui sangat ramai pelajar di peringkat universiti yang mengalami masalah ini. Komen mereka “lebih baik tak payah buat jadual sebab kalau buat pun bukan kita boleh ikut semuanya.”
Kepada sesiapa yang berpendapat begini terutamanya pelajar, INGAT 2 perkara ini.
  1. Lebih baik ada jadual dan rancangan menguruskan masa berbanding tidak ada jadual dan rancangan.
  2. Jika kita tidak sempurnakan jadual atau rancangan menguruskan masa, ia JAUH LEBIH BAIKdaripada orang-orang atau pelajar-pelajar yang tidak ada langsung jadual atau rancangan menguruskan masa.
Masalah ini berlaku disebabkan pelajar tidak faham konsep pengurusan masa dan tidak boleh jadi fleksibel. Rancangan kita untuk menguruskan masa sebenarnya ialah satu panduan. Sama seperti semasa kita hendak ke suatu tempat. Untuk ke sekolah contohnya, mungkin ada satu jalan terbaik dan paling cepat yang boleh kita ikuti. Namun jika satu hari jalan itu tidak boleh digunakan, pasti ada jalan lain lagi yang boleh digunakan. Kita tidak merungut atau merengek dengan berkata, “tak bolehlah pergi sekolah macam ni!” apabila jalan terbaik tadi ditutup.
Jadual Belajar SmartStudy
Selepas ini, jika kita sudah buat rancangan dan jadual tetapi tidak boleh sempurnakannya, gunakan 2 langkah di bawah. Katakan kita rancang 10 perkara untuk dilakukan tetapi hanya berjaya sempurnakan 7 sahaja manakala 3 lagi gagal dilaksanakan, kita perlu
  1. Bersyukur dan ucapkan tahniah kepada diri kita kerana telah berjaya sempurnakan 7 perkara yang kita rancang. Penuhkan diri dengan rasa gembira, seronok, bangga dan syukur kerana kita BERJAYA selesaikan 7 daripada 10 rancangan. Itu satu pencapaian yang hebat.
  2. Soal diri kita sendiri, “Macam mana supaya lepas ni, aku boleh sempurnakan semua sekali perkara yang telah kita rancangkan?” Soalan ini akan membuat minda kita lebih positif, bersemangat dan bersedia untuk mencari jalan untuk memajukan prestasi pengurusan masa kita pada masa yang akan datang.
Saya ucapkan selamat menguruskan masa dan selamat menjadi lebih FLEKSIBEL! :)
Tip 7
Tips latihan menguruskan masa sepanjang cuti sekolah yang terakhir ialah ‘luangkan lebih masa untuk aktiviti yang paling mendatangkan hasil.’
Di dalam subjek ekonomi, ada satu terma yang dinamakan ‘The Pareto Principle’. Walaupun ia berasal daripada perbincangan mengenai ekonomi, rupa-rupanya ia boleh diaplikasikan kepada banyak bidang lain termasuk bidang pengurusan masa. Prinsip Pareto ini mengatakan bahawa
“20% daripada USAHA kita akan menghasilkan 80% daripada HASIL yang kita perolehi.”
Urus Masa Osman Affan
Jangan bimbang jika ayat ini sukar difahami. Ia bermaksud beberapa perkara.
  • Tidak semua aktiviti yang kita lakukan penting dalam mendapatkan hasil yang kita mahu.
  • Kalau kita lakukan 10 perkara untuk skor markah 100% contohnya, 2 daripada perkara tersebut boleh menghasilkan 80% daripada markah 100% itu.
Untuk lebih mudah faham, bayangkan anda lakukan 10 perkara ini untuk skor 100% markah dalam peperiksaan.
  1. Pergi tuisyen
  2. Buat kerja sekolah
  3. Buat latih tubi
  4. Pergi perpustakaan
  5. Beli buku
  6. Belajar di rumah kawan
  7. Belajar sendiri di rumah
  8. Jumpa dan tanya guru
  9. Jumpa dan tanya kawan
  10. Sediakan alat tulis yang sempurna
Dalam 10 perkara yang dilakukan ini, sebenarnya ada lebih kurang 2 perkara yang akan menyumbang kepada 80% daripada markah yang bakal kita perolehi. Aktiviti yang mana satu agaknya?
Ia terpulang kepada individu. Ada individu yang perlu lakukan aktiviti latih tubi dan belajar sendiri di rumah untuk dapat 80% markah dan ada individu yang perlu buat kerja sekolah dan jumpa guru untuk dapat 80%. Namun apa yang penting ialah anda perlu fikirkan aktiviti apakah yang benar-benar menyumbang kepada markah yang bakal anda perolehi. Jadi sekarang, cuba senaraikan semua aktiviti yang anda lakukan setiap hari untuk skor A dalam peperiksaan. Cuba kenal pasti aktiviti manakah yang tergolong dalam 20% aktiviti penting yang saya terangkan ini?
Setelah anda faham konsep bahawa ada lebih kurang 20% aktiviti yang benar-benar membantu kita mencapai matlamat skor A dalam peperiksaan, anda juga harus sedar bahawa kebanyakan pelajar menghabiskan masa mereka melakukan aktiviti-aktiviti yang tidak penting kepada mereka.
Urus Masa Osman Affan
Sebagai contoh, ada pelajar yang bersungguh-sungguh untuk pergi ke rumah kawan dan belajar bersama. Namun apabila dikaji semula, aktiviti itu sebenarnya hanya membuang masa dan tenaga kerana
  • Banyak masa terbuang semasa hendak pergi ke rumah kawan tersebut.
  • Banyak tenaga terbuang dalam perjalanan ke rumah kawan tersebut.
  • Banyak masa terbuang semasa hendak bersedia untuk mula belajar.
  • Banyak masa terbuang apabila kawan-kawan mula buka cerita tentang sesuatu yang tidak berkaitan.
  • Banyak masa terbuang apabila anda dan kawan-kawan tidak ada ‘mood’ untuk belajar.
Lebih menyedihkan, kadangkala perjalanan untuk ke rumah kawan tersebut memakan masa lebih lama daripada masa yang diambil untuk belajar. Akibatnya, anda rasa sudah banyak luangkan masa untuk belajar tetapi  hairan apabila tidak dapat skor dalam peperiksaan. Adakah ia menghairankan jika pelajar ini tidak dapat skor A? Tidak sebenarnya. Ia tidak menghairankan kerana terlalu banyak masa yang dihabiskan untuk sesuatu yang tidak menyumbang kepada markah yang bakal diperolehi.
Tips ini juga merupakan satu rahsia mengapa pelajar cemerlang selalunya kelihatan seperti belajar sedikit atau tidak belajar tetapi mampu mendapat keputusan cemerlang di dalam peperiksaan. Ada ramai pelajar cemerlang yang sibuk dengan aktiviti kurikulum sekolah tetapi masih mampu skor A dalam peperiksaan dengan agak mudah. Ini adalah kerana mereka tahu untuk fokus kepada aktiviti yang menyumbang kepada matlamat yang mereka ingin capai. Mereka telah kenal pasti aktiviti mana yang penting untuk mereka dan luangkan lebih banyak masa untuk aktiviti tersebut.
Hari ini atau mungkin sepanjang minggu ini, cuba kenal pasti aktiviti yang penting untuk diri kita skor A dalam peperiksaan. Kemudian luangkan lebih banyak masa untuk lakukan aktiviti tersebut. Dapatkan bantuan dan nasihat ibu bapa dan guru untuk mengenal pasti aktiviti-aktiviti ini. Saya percaya anda akan dapat lihat perbezaannya dari segi pengurusan masa dan juga pencapaian anda dalam bidang akademik nanti.
Selamat menguruskan masa.


ok itu shj..maaf atas kepnjngan entri kali ini..
                                                                                                 *Alya Nabilah*

No comments: